Ahad, 6 April 2014

SEJARAH SEKOLAH Smk Hillcrest


 

           Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest telah dibina pada awal tahun 1989 dan siap sepenuhnya pada tahun 1991. Luas kawasan yang diperuntukkan untuk sekolah ini ialah 8.2 hektar. Sekolah ini mula dibuka pada 1 Disember 1990.

        

  Pada mulanya, Encik Irwan Tan Abdullah yang merupakan Guru Penolong Kanan telah dilantik sebagai Pemangku Pengetua sehingga adanya pengetua pertama iaitu Puan Sukma Murni Binti Abdul Samad (P.J.K., P.P.T.) pada 1 Disember 1992. Pada ketika itu, hanya blok B yang digunakan kerana Blok A masih dalam pembinaan. Blok B ketika itu dapat menampung seramai 8 orang guru dan 280 orang pelajar. Kos pembinaan kedua-dua blok tersebut ialah sebanyak 1.5 juta. Sebahagian besar pembiayaian pembinaan telah disumbangkan oleh Datin Paduka Zaleha Ismail (Menteri Perpaduan Negara). Blok C pula siap dibina pada 1996 yang menyediakan kemudahan pendidikan seperti bengkel Kemahiran Hidup, tiga buah makmal serta dua buah kelas.

 

  Pada 1 Julai 1997, Puan Rohani Binti Bakar telah menjadi pengetua sekolah menggantikan Puan Sukma yang mula bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah Gombak. Namun begitu, setelah sekolah ini dinaikkan taraf ke sekolah gred A sekali lagi berlaku pertukaran pengetua. Puan Rohani yang baru bertugas selama enam bulan di sekolah ini telah ditukarkan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Lembah Keramat dan tempat beliau digantikan oleh Puan Hodaima Binti Haji Halil.  Beliau bertugas selama 7 tahun di SMKHC dan bersara pada tahun 2005.  Tempat beliau telah diganti oleh Puan Kamalyyah Binti Teh Mohamed.  Setelah itu, tempat beliau diambil alih oleh Puan Nik Maryam binti Idris yang mula bertugas pada bulan Ogos 2007 sehingga Jun 2011.  Tugas peneraju SMKHC yang terkini diteruskan pula oleh Puan Sharifah Binti Mamat.

 

  Mesyuarat Agung PIBG yang pertama dirasmikan oleh Yang Berhormat Datin Paduka Zaleha Binti Ismail (DPMS, SMS, KMN) Menteri Perpaduan pada ketika itu. Pada 17 Januari 1993, beliau juga turut merasmikan lencana dan bendera pada 3 Julai 1993. Ia diilhamkan oleh salah seorang pelajar Tingkatan 1 Kenanga ketika itu iaitu Garry Wong. Lencana tersebut mengandungi tiga warna iaitu merah yang melambangkan keberanian, kuning tanda kesetiaan dan biru lambang kejujuran dan keikhlasan.

 

  Sukan tahunan sekolah yang pertama telah diadakan pada 21 Februari 1993 yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Encik Ahmad Bahari Abdul Rahman, Ahli Dewan Undang Negeri kawasan Gombak Setia. Pada hari tersebut, beliau turut merasmikan bendera kejohanan sukan Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest.

 

  Tahun demi tahun, Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest berkembang dari pelbagai aspek seperti dari pertambahan jumlah pelajar dan guru, bangunan mahupun kurikulum dan kokurikulum. Sekolah ini telah diiktiraf sebagai Sekolah Cemerlang Daerah Gombak pada 1995 berikutan prestasi yang memberangsangkan dalam bidang akademik. Pada 20 September 1995, pelawat-pelawat dari Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Zimbabwe telah melawat sekolah ini. Sebelum itu juga iaitu pada 18 Januari 1995, sekolah ini telah digelar ‘sekolah tanpa tong sampah’ dalam akhbar Utusan Malaysia yang menggambarkan keadaan sekolah yang sangat bersih. Pada 21 Ogos 1996 Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest sekali lagi menjadi tumpuan apabila adanya lawatan rasmi delegasi dari negara-negara Komanwel.

 

  Pada 1996 juga, Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest telah dipilih sebagai Sekolah Harapan Negara 1996 bagi kategori sekolah kawasan bandar. Selain itu, sekolah ini turut dipilih untuk menyertai Pertandingan 3K iaitu Keselamatan, Kebersihan dan Keceriaan bagi peringkat negeri. Sekolah ini turut menyertai pertandingan lanskap pada Hari Kebangsaan yang ke-39. Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah kali pertama telah diadakan pada 14 Jun 1997 untuk menghargai pelajar-pelajar yang cemerlang dalam bidang Kurikulum.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan